Tuesday, May 26, 2009

Remaja: Kematangan Pemikiran dan Keyakinan Diri

Golongan remaja merupakan kelompok yang istimewa dalam masyarakat. Mereka merupakan golongan yang akan mengemudi masyarakat pada suatu hari nanti bagi membawa masyarakat ke arah kecemerlangan dalam segenap bidang. Untuk mengemudi masyarakat, remaja amat memerlukan keyakinan diri dalam memastikan kelompok yang dikemudi itu percaya akan kapasiti remaja. Tidak cukup dengan itu, remaja juga perlu kepada pemikiran yang matang dalam memastikan tindakan yang dilaksanakan adalah tepat dan sesuai.
Keyakinan diri adalah berkait dengan kepercayaan seseorang terhadap kemampuan dirinya bagi melakukan sesuatu perkara. Remaja yang percaya akan kebolehan diri sendiri berupaya untuk pergi lebih jauh berbekalkan kelebihan yang dimiliki serta semangat yang membara. Namun, apakah langkah bagi meningkatkan keyakinan diri para remaja? Perkara yang terpenting adalah bagaimana seseorang remaja itu melihat kepada dirinya sendiri. Remaja yang melihat dirinya sebagai insan yang hebat dipercayai mampu memotivasikan diri sendiri bagi mencapai kejayaan, sebaliknya bagi remaja yang ragu-ragu akan kebolehan diri sendiri pula dilihat teragak-agak dalam bertindak. Cara seseorang melihat dirinya adalah sangat mempengaruhi tindakan yang diambil oleh mereka. Ini adalah kerana apa-apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh para remaja merupakan cerminan kepada tahap pemikiran mereka. Jika tindakan tersebut dilihat kebudak-budakan, ia memberi gambaran bahawa remaja tersebut masih belum mempunyai akal fikiran yang matang. Mereka masih terbawa-bawa sikap dan perangai lama ketika mereka meniti zaman kanak-kanak pada masa dahulu. Bagi remaja yang matang pula, tindakan mereka dilihat tidak terburu-buru, tenang dalam menghadapi situasi sukar, serta memahami permasalahan sebenar yang berlaku pada mereka dan di sekitar mereka.
Namun, apa yang dipercayai di sini adalah kematangan akal fikiran para remaja banyak dibantu oleh permasalahan yang berlaku kepada diri mereka atau persekitaran. Remaja yang mampu merencanakan suatu penyelesaian masalah bagi suatu masalah yang sukar, akan dapat dilihat mempamerkan tahap pemikiran dan intelektual yang tinggi serta matang. Justeru itu, adalah penting untuk remaja terdedah dengan situasi sukar bagi mendidik mereka menjadi insan yang yakin pada kemampuan diri sendiri dan keluar daripada zon selesa. Remaja tidak boleh terlalu dimanjakan kerana kelak remaja itu tidak akan berupaya berdikari bagi kelangsungan kehidupannya. Sudah pastilah ia sesuatu yang amat merugikan bagi diri remaja itu sendiri. Biarkanlah mereka bertindak mengikut apa-apa yang mereka percaya, namun sekiranya perlu untuk diberikan teguran, ia adalah sesuatu yang wajar dan baik agar tindakan remaja itu tidak menyimpang daripada landasan kehendak agama.
Selain itu, bagi meningkatkan keyakinan diri para remaja, remaja perlu diberikan penghargaan bagi setiap perkara yang dilihat bagus dan menguntungkan yang dilakukan oleh remaja tersebut. Memberi penghargaan bukanlah bererti penghargaan dalam bentuk material semata-mata, tetapi ia merangkumi hal yang mampu meningkatkan motivasi remaja untuk terus berjaya. Contoh yang dapat diberikan adalah melalui pujian terhadap perkara yang mereka lakukan. Pujian ini perlulah telus dan ikhlas agar remaja tidak membuat sangkaan yang pujian itu lebih bersifat mengambil hati semata-mata. Oleh yang demikian, bagi setiap tindakan yang baik dan bagus yang dilakukan oleh para remaja wajarlah diberikan penghargaan. Ia akan mampu meningkatkan keinginan serta keyakinan mereka untuk terus berjaya dalam perkara yang dilakukan.
Selain daripada perkara di atas, remaja juga perlu diberikan kritikan yang membina bagi perkara yang dilihat merugikan diri mereka. Maka dengan itu, kritikan tersebut perlulah menggunakan bahasa yang lembut dan tidak bersifat menghentam. Di sinilah perlunya ada justifikasi yang jelas tentang sebab-sebab tindakan tersebut dilihat tidak betul atau tidak menguntungkan. Kita tidak boleh semata-mata mengkritik tanpa memberikan cadangan atau saranan yang bernas bagi sesuatu perkara. Cadangan yang bernas dilihat akan dapat memberikan jalan alternatif kepada remaja bagi memperbetulkan tindakan yang merugikan diri mereka sendiri. Pepatah ada menyebut bahawa “Tunjukkan mereka jalan yang betul dan biarkan mereka berjalan sendiri”. Pepatah ini jelas memberikan makna bahawa seseorang itu perlu diberikan bimbingan dan teguran dan biarlah mereka menentukan tindakan yang akan mereka lakukan.
Tuntasnya, remaja perlulah memiliki keyakinan diri dalam setiap tindakan yang dilakukan oleh mereka. Yakin pada kemampuan diri sendiri dan meminta bantuan orang lain sekiranya perlu merupakan elemen penting ke arah memantapkan keyakinan diri para remaja dalam berhadapan realiti sebenar kehidupan. Diharapkan agar remaja yang telah mempunyai keyakinan pada diri ini dapat menyumbang sesuatu bagi kemajuan dan pembangunan masyarakat. Percayalah, setiap sumbangan yang diberikan pasti akan mendapat bahagian yang lumayan daripada Yang Maha Esa serta Maha Adil dalam pemberian.

No comments:

Post a Comment