Friday, May 29, 2009

Keterbukaan dan Berlapang Dada

Salam.. Pada hari ini, saya akan berbicara tentang sikap keterbukaan dan berlapang dada. Seperti yang kita sedia maklum, sikap terbuka dan berlapang dada merupakan suatu sikap terpuji yang harus dimiliki oleh setiap insan bergelar manusia. Daripada sudut pandangan psikologi sosial, sikap terbuka dan berlapang dada akan mencerminkan sikap seseorang manusia yang berjiwa besar, berpemikiran positif, dan memiliki kualiti penambahbaikan diri yang tinggi. Seringkali kita terdengar sikap sesetengah insan yang dikatakan sukar menerima pendapat atau pandangan orang lain. Maka, Islam telah membawa konsep bermusyawarah dalam kehidupan umat manusia. Dalam bermusyawarah, kita diperingatkan agar mendengar pandangan2 yang berbeza terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran menyeluruh tentang suatu perkara meliputi aspek pro dan kontra. 2 aspek ini perlu dibincangkan dan jika perlu, ia perlu dibahaskan secara sopan dan bukan mengikut perasaan atau emosi semata-mata. Setelah itu, barulah keputusan dapat dibuat dan keputusan tersebut harus dihormati oleh semua orang sebagai suatu adab bermesyuarat. Suara2 yang mempertikaikan keputusan seharusnya tidak timbul jika keputusan itu dibuat secara cermat dan bijak.
Sikap terbuka dan berlapang dada boleh dipupuk juga melalui nasihat2 terhadap insan yang dilihat mempamerkan budi pekerti yang kurang elok. Sebaik-baiknya, gunalah orang yang rapat dengan insan terbabit bagi membolehkan perubahan berlaku dalam diri insan terbabit secara lebih berkesan. Untuk memupuk sikap terbuka dan lapang dada ini juga, kita sendiri perlu mendidik jiwa kita untuk menjadi insan yang boleh mendengar kritikan dan pendapat yang berbeza dengan kita. Caranya adalah dengan menerapkan sikap optimis dalam pemikiran kita tentang pelbagai perkara. Saya yakin dan percaya, jika kita optimis terhadap kritikan yang dilemparkan, kita akan berjaya membina diri kita sebagai seorang manusia yang hebat dan memiliki kualiti sebagai seorang pendengar yang baik. Dengarlah terlebih dahulu pendapat yang berbeza, agar ia dapat menjadi rakan berfikir yang baik untuk minda kita. Kita tidak seharusnya hanya mengharapkan pujian kepada diri kita. Adakalanya, pujian itu lebih bersifat 'mengipas' dan tidak lebih sekadar manisan mulut.
Maka dengan itu, kritikanlah yang sebenarnya lebih ikhlas dan telus kerana kritikan ini lahir daripada ketakpuashatian dalam diri seseorang. Tuntasnya, marilah kita bersama-sama menyemai sikap keterbukaan dan lapang dada agar kita sama-sama dapat memperbaiki diri ke arah menjadi insan yang lebih berkualiti dan berjiwa besar. Adakalanya, agak perit dan pahit juga untuk menelan hakikat kritikan tersebut, akan tetapi cubalah sedaya upaya yang boleh untuk bersikap tenang, sabar dan optimis terhadap kritikan itu.

2 comments:

  1. "Syura menutup pintu kesilapan" - umar abdul aziz.

    tapi dalam Islam, keputusan tanpa syura tetap relevan. tidak boleh ditolak. umpama bila seorang sahabat nabi jadi panglima perang. dia buat keputusan adhoc tanpa syura. ramai sahabat lain tak puas hati. tapi, akhirnya Nabi saw mengakui tindakan sahabat panglima tu betul..

    sekadar perkongsian..

    ReplyDelete
  2. Keputusan yang dibuat secara adhoc merupakan keputusan yang dibuat atas sebab situasi yang amat kritikal dan masanya amat genting. Jadi, berdasarkan situasi seorang sahabat Nabi membuat keputusan secara adhoc itu adalah suatu kes khas dan diluar situasi biasa. Membuat keputusan secara adhoc adalah amalan yang boleh dilakukan dalam keadaan tertentu sahaja dan bukan dalam semua keadaan.

    ReplyDelete