Saturday, May 30, 2009

Kepemimpinan MPP: Suatu Refleksi

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) merupakan badan kepemimpinan tertinggi di kampus yang dibentuk melalui sistem pilihan raya kampus pada setiap tahun. MPP bertindak sebagai jurucakap pelajar mengenai suatu isu yang membabitkan pelajar serta bertindak sebagai seorang pemimpin yang memimpin mahasiswa ke arah mahasiswa yang sejahtera.
Jika dilihat kapada trend di kebanyakan kampus, kita akan dapat lihat bahawa MPP banyak berperanan sebagai kumpulan yang banyak melaksanakan aktiviti-aktiviti dan program-program di kampus atau luar kampus. Namun, apakah ia merupakan peranan sebenar mereka? Jika ditanya kepada mereka yang arif dalam selok-belok kepemimpinan di kampus, rata-rata mereka berpendapat bahawa MPP tidak sepatutnya menjadi pelaksana program. MPP harus berperanan sebagai kumpulan yang mempunyai perancangan yang sistematik dalam soal memantapkan kepemimpinan mahasiswa dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan. Kalaupun MPP diberi tender dalam melaksanakan program, MPP boleh sahaja membuka keahlian AJK kepada pelajar secara umum, namun tetap atas nama MPP.
Berbalik kepada pokok persoalan tadi. Jadi, apakah yang seharusnya MPP lakukan sebagai seorang pemimpin mahasiswa? Pertamanya adalah MPP bertindak sebagai badan yang membantu persatuan mahasiswa di kampus bagi memperkasakan kepimpinan mahasiswa. Di kampus sahaja telah banyak persatuan mahasiswa ditubuhkan yang berasaskan kepada bidang tertentu seperti sukan, rekreasi, kerohanian, badan beruniform dan kemasyarakatan. Jadi, sebagai pemimpin mahasiswa, MPP perlu mendekati persatuan-persatuan mahasiswa di kampus untuk memberikan mereka galakan, tunjuk ajar, nasihat, serta garis panduan berpersatuan agar matlamat memperkasakan kepimpinan mahasiswa dapat dicapai. Usaha ini juga akan membolehkan MPP mempunyai hubungan yang rapat dengan perastuan-persatuan di kampus dan secara tidak langsung dapat menjalin ukhwah bersama pemimpin mahasiswa peringkat persatuan.
Perkara kedua yang dapat dilakukan adalah dengan membentuk suatu perancangan bagi menyediakan skuad pemimpin pelapis di peringkat kampus. Pembentukan skuad pemimpin pelapis ini meliputi pemimpin mahasiswa yang mengepalai jawatankuasa kolej, pengerusi persatuan, serta mahasiswa yang telah dikenalpati mempunyai bakat dalam kepimpinan. Skuad pelapis ini perlu didedahkan dengan pelbagai latihan dan kursus secara teori dan praktis bagi membolehkan mereka mempunyai daya kepimpinan yang mengkagumkan. Skuad ini juga harus diberikan motivasi untuk terus komited memberi sumbangan dalam kepimpinan kampus agar kampus mempunyai kumpulan yang sedia memimpin apabila tiba waktunya.
Perkara ketiga adalah mengadakan program berteraskan kebajikan. Program Road-Show ke kolej-kolej kediaman harus digerakkan secara sistematik kerana kolej kediaman merupakan medan terbaik untuk MPP berkongsi permasalahan dengan warga kampus. Rungutan dan denyut nadi rakyat mahasiswa harus didengari agar MPP dapat merencanakan penyeleaian bagi masalah yang timbul. Kolej kediaman juga adalah medan terbaik untuk MPP untuk lebih rapat dengan para mahasiswa di samping dapat membentuk jalinan kemesraan antara pemimpin dengan yang dipimpin.
Tuntasnya, MPP perlu membuat refleksi mengenai peranan sebenar mereka sebagai pemimpin mahasiswa. MPP perlu mempunyai perancangan yang sistematik agar setiap yang disasarkan itu mencapai matlamatnya dan mampu menjadi badan yang menjadi role-model kepada para mahasiswa.

No comments:

Post a Comment