Tuesday, May 26, 2009

Mentransformasikan Khutbah Jumaat

Sesungguhnya Allah swt telah mengambil dua rakaat daripada solat Zohor pada hari Jumaat dan digantikan pula dengan dua khutbah lantas muslim tidak perlu bersolat Zohor pada hari Jumaat. Penggantian ini hakikatnya mempunyai makna yang tersendiri terhadap peri pentingnya khutbah Jumaat terhadap sekalian umat Islam. Tiadalah yang Allah swt syariatkan kepada kita itu sia-sia, melainkan mempunyai sebab yang kukuh mengapa ia disyariatkan. Di sinilah perlunya kita memfokuskan kepada langkah-langkah dalam menjadikan khutbah Jumaat yang telah disyariatkan oleh Allah swt melalui Rasulullah saw ini mempunyai makna tersendiri terhadap kehidupan seorang muslim.
Jika dilihat kepada senario khutbah pada masa kini, dipercayai bahawa khutbah Jumaat memerlukan proses transformasi bagi menjadikan ia khutbah yang mampu mempengaruhi sekalian pendengar. Jika dilihat kepada khutbah pada zaman kini, ia lebih bersifat membaca teks yang telah disediakan oleh pihak berwajib. Membaca teks sahaja tanpa mengetahui cara menyampaikan dengan berkesan adalah sesuatu yang dilihat akan menjadikan para pendengar amat khusyuk terlena ketika khutbah disampaikan. Selain itu, terdapat juga faktor di mana isi yang diketengahkan dalam khutbah tersebut hanya mengkitar semula isi khutbah yang pernah dibacakan atau isi tersebut tidak mampu menarik sekalian pendengar. Oleh yang demikian, beberapa langkah bagi menjana pembaharuan terhadap khutbah Jumaat perlu direncanakan.
Antaranya adalah dengan memberi peluang kepada para anak muda terpelajar bagi berkhutbah di atas mimbar. Golongan muda terpelajar merupakan aset yang amat bernilai bagi sesebuah negara. Golongan ini telah didedahkan dengan pelbagai disiplin ilmu ketika pengajian dan dipercayai mempunyai semangat membara bagi melakukan pembaharuan dalam masyarakat. Melalui platform khutbah Jumaat ini, anak muda ini berpeluang dalam mengetengahkan idea yang mampu memberi nafas baru terhadap ahli masyarakat. Idealisme yang dimiliki oleh mereka dapat dikongsikan bersama dengan masyarakat dalam menjana pembentukan masyarakat madani. Anak muda ini pula seharusnya telah didedahkan dengan ilmu berkaitan rukun khutbah bagi membolehkan khutbah yang disampaikan itu sah di sisi Islam. Kelantangan anak muda dalam bersuara mengenai isu-isu masyarakat dipercayai mampu memberi inspirasi terhadap ahli komuniti ke arah suasana masyarakat yang soleh. Anak-anak muda terpelajar ini boleh sahaja untuk dijemput oleh ahli jawatankuasa masjid terbabit bagi menyampaikan khutbah yang bernas dan jitu. Usaha ini secara tidak langsung akan turut membentuk generasi muda yang berani mengetengahkan idea-idea baru selain menyediakan negara dengan barisan pelapis yang berkarisma dan berwibawa.
Selain itu, disarankan agar masjid-masjid dapat memanfaatkan kecanggihan teknologi zaman kini melalui penggunaan layar putih dan pemancar LCD bagi memaparkan isi khutbah yang penting yang disampaikan oleh khatib sewaktu proses penyampaian khutbah berlangsung. Penggunaan alat visual ini dilihat mampu menarik perhatian pendengar bagi memberi fokus terhadap khutbah yang disampaikan. Diakui bahawa terdapat jenis orang yang lebih gemar kepada bentuk penggambaran dan teks berbanding mendengar suara sahaja. Oleh yang demikian, penggunaan alat visual ini dilihat berupaya memenuhi kepelbagaian minat dan kecenderungan para jemaah.
Langkah lain adalah dengan menerbitkan semula intipati penting khutbah pada minggu yang sebelumnya dalam bentuk buku atau helaian untuk edaran para jemaah. Penerbitan ini akan dapat membantu dalam mengingatkan semula para jemaah tentang khutbah yang telah disampaikan pada minggu yang lepas bagi dihayati dengan penuh semangat sebelum mendengar pula khutbah yang seterusnya. Maka dengan itu, bahagian penerbitan masjid-masjid perlu berperanan aktif sebagai ejen yang mampu memberikan sumbangan bermakna terhadap pembangunan insan melalui penerbitan tersebut. Dalam memantapkan lagi khutbah jumaat, para khatib juga boleh diberikan kursus khas dalam memperkasakan teknik atau cara penyampaian khutbah. Cara penyampaian ini amat berkait dengan kemahiran berkomunikasi secara berkesan yang dilihat sangat menentukan ‘mood’ para jemaah untuk mendengar khutbah yang disampaikan. Nada suara yang pelbagai umpamanya bersuara nada tinggi dan nada rendah perlu digunakan dengan bijak oleh khatib. Nada yang pelbagai ini dipercayai mampu menarik minat jemaah untuk mendengar khutbah yang disampaikan selain mengelakkan mereka tertidur.
Secara kesimpulan, dapat dibuat telahan bahawa khutbah pada masa kini memerlukan transformasi ke arah menjadi khutbah yang bermakna dan mampu memberi inspirasi kepada mereka yang mendengarnya. Cara penyampaian dan isi kandungan khutbah adalah faktor penting dalam menarik perhatian jemaah bagi mendengar khutbah tersebut. Dengan idea-idea yang diketengahkan ini diharapkan agar pihak terbabit dapat melakukan sesuatu dalam memperkasakan khutbah Jumaat ke arah mewujudkan suasana masyarakat yang soleh.

No comments:

Post a Comment